Rakan Facebook Digari Sebelum Dirogol

Jumaat, 24 Mei 2013

KOTA BHARU - Seorang pemuda berusia 20 tahun terpaksa mengorbankan usia mudanya di penjara apabila dihukum penjara selama 11 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana kesalahan rogol.

Hukuman diputuskan Hakim Mohd Yusuff Yunus selepas tertuduh, Mohamad Najibullah Razali, 20, mengaku bersalah merogol wanita yang dikenalinya di facebook.

Tertuduh ketika itu berusia 18 tahun didakwa merogol mangsa sebaya dengannya di kawasan semak Cherang Ruku, Pasir Puteh, antara jam 10 malam dan 1 pagi, 2 Disember 2011.

Dalam kejadian itu, mangsa yang selesai kerja di sebuah pasar raya di Machang diajak tertuduh keluar minum sebelum menghantarnya ke rumah.

Lelaki yang hanya tamat persekolahan tingkatan dua itu kemudian memandu kereta milik bapanya menuju ke Pasir Puteh dan berhenti mengambil seorang lelaki pada tengah perjalanan.

Mangsa enggan mengikut, bagaimanapun ditampar sebelum digari ke dalam kereta. Sampai di kawasan semak, dia dirogol. Sekali lagi mangsa melawan, malangnya dia ditampar dan ditolak ke tanah.

Pada prosiding semalam, laporan akhlak dikemukakan mengatakan tertuduh anak yang baik dan tidak pernah dipukul bapanya selain tidak pernah mendapat pendidikan agama. Dia melalui peguamnya memohon hukuman penjara minimum bimbang tertuduh bercampur dengan penjenayah tegar.

Mohd Yusuff bagaimanapun bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin dalam mengutamakan kepentingan awam, melihat tujuh rekod lampau tertuduh dan mengambil kira trauma dialami mangsa serta keluarga sebelum menjatuhkan hukuman.

“Tempat bukan persoalan untuk kita jadi baik atau tidak. Ia bergantung pada diri sendiri. Berubahlah, kamu sahaja yang boleh mengubah diri kamu sendiri dan bukan orang lain.
Saya harap hukuman ini akan menjadi pengajaran kepada kamu untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Ibu Tak Beri Wang, Anak Bakar Rumah


PASIR MAS – “Akhirnya, tercapai hasrat adik, nak bakar rumah ibu,” kata anak ke tiga dari tujuh beradik, selepas mendapati rumah ibunya di Kampung Kasar, hangus pada jam 10.45 pagi, semalam.

Raihan Abdul Rahman, 50, berkata, dia mengesyaki adik bongsunya membakar rumah, kerana sebelum ini suspek sering mengugut ibunya, Zainab Ahmad, 65.

Raihan berkata, adik lelaki yang berusia 30 an itu, mengugut mahu membakar rumah jika ibu tidak mengikut kemahuan atau enggan memberinya wang.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu dengan adiknya, dua hari sebelum kejadian, malah dia turut menggeledah bilik dalam rumah berkenaan.

“Beberapa hari sebelum kejadian, ibu hubungi saya dan dia kata rasa tak tenteram, maka saya bawanya tinggal bersama di Kampung Lati.

“Jika tidak kerana itu, saya pasti ibu mungkin akan menjadi mangsa dalam kebakaran ini,” katanya.

Raihan berkata, mereka mengalami kerugian hampir RM240,000 memandangkan semua barang dalam rumah pusaka yang diduduki sejak 15 tahun lalu terbakar sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak dapat mengesan lokasi adiknya, selepas kebakaran ini berlaku.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.03 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dengan satu jentera dengan kekuatan lima anggota.

“Setibanya di tempat kejadian, kami dapati rumah berkenaan hangus 85 peratus namun kami berjaya mengawal api daripada merebak, 13 minit kemudian.

“Punca dan nilai kerugian yang ditanggung masih dalam siasatan,” katanya, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.

“Kita  tidak pasti sama ada wujud unsur sabotaj seperti mana yang didakwa oleh mangsa, namun kita akan menyiasat kejadian ini,” katanya.

Ahmad Yakob Kini Sah MB Kelantan

Isnin, 6 Mei 2013

KOTA BHARU - Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pekan, Datuk Ahmad Yakob secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang baru di Istana Negeri Kubang Kerian dekat sini, kira-kira pukul 6 petang sekali gus menamatkan pimpinan Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di negeri itu selama 22 tahun. 

Ahmad, 63, yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Besar mengangkat sumpah di hadapan Sultan Muhammad V Tengku Muhamad Faris Petra Sultan Ismail. 

Nik Aziz, 82, memutuskan untuk bersara daripada memegang jawatan itu di mana kerajaan negeri di bawah kepimpinan PAS memerintah Kelantan sejak tahun 1990. 

Bagaimanapun difahamkan, Nik Aziz terus kekal sebagai Mursyidul Am PAS. 

Pemilihan Ahmad sebagai Menteri Besar Kelantan dibuat selepas PAS kekal memerintah Kelantan yang memperoleh majoriti mudah dengan 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Ahad. 

Ahmad sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan pada Mac 2004. 

Pada PRU-13, beliau yang mewakili PAS berjaya mempertahankan kerusi DUN Pasir Pekan yang disandangnya dengan majoriti 5,644 undi. 

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan. 

Bagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dilantik juga mengambil giliran mengangkat sumpah setia perlantikan. 

Ahli Mesyuarat Kerajaan terdiri daripada Datuk Anuar Tan Abdullah, Datuk Fatah Mahmud, Nasaruddin Daud Mejar (B) Datuk Ainizam Abdul Rahman, Datuk Che Abdullah Md Nawi, Datuk Dr Mohd Fadli Hassan, Hanifah Ahmad, Dr Ramli Mamat dan Mumtaz Md Nawi.

Annuar Musa Sedia Lepas Jawatan Penasihat Kafa, Tumpu Tugas Anggota Parlimen

KOTA BHARU - Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa bersedia melepaskan jawatannya untuk menumpukan perhatian terhadap tugasnya sebagai anggota Parlimen Ketereh. 

Beliau berkata sebagai wakil rakyat, masa dan komitmen harus diperuntukkan sepenuhnya bagi melaksanakan tanggungjawab serta amanah rakyat. 

"Kita tahu bola (sepak) hanya kerja NGO dan ia hanya komitmen saya kepada aktiviti belia. Sekiranya kita sudah ada orang yang boleh menyambung apa yang saya lakukan, saya fikir baik saya pertimbangkan supaya urusan bola (sepak) dapat diganti dengan orang lain," katanya kepada pemberita di sini Isnin. 

Pada pilihan raya umum ke-13 Ahad, Annuar menewaskan calon PKR Ab Aziz Ab Kadir dengan majoriti 974 undi. 

Annuar memperoleh 26,912 undi manakala Ab Aziz mendapat 25,938 undi. 

Annuar berkata pengurusan Kafa di bawah TheRedWarriors.com adalah sebagai persiapan untuk menjadikan bola sepak Kelantan lebih profesional berbanding dahulu. 

Beliau turut memberi jaminan untuk terus membantu meningkatkan mutu bola sepak Kelantan meskipun tidak memegang jawatan presiden bagi memastikan kekuatan The Red Warriors diteruskan tahun depan. -Bernama

Ketua Tempat Mengundi, Anggota Polis Cedera Diserang Ketika Hantar Peti Undi

KOTA BHARU - Seorang ketua tempat mengundi dan seorang anggota polis cedera ringan selepas diserang lebih 20 penyokong sebuah parti politik ketika menghantar peti undi ke Pusat Penjumlahan Undi di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Tumpat, malam Ahad. 

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an, cedera selepas sekumpulan penyokong parti itu bertindak ganas memecahkan cermin kereta yang mereka naiki menggunakan benda keras dan melompat naik ke atas kenderaan tersebut. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata bagaimanapun serangan itu dapat dihentikan sekumpulan anggota polis yang digerakkan ke tempat kejadian. 

"Kita berjaya menyelamatkan peti undi tersebut daripada dibawa lari oleh penyokong parti dan akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini. 

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana melakukan halangan salah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 323 kerana menyebabkan kecederaan. 

Jalaluddin berkata sebanyak 88 laporan polis dibuat pada hari pengundian semalam, 44 daripadanya berhubung penggunaan dakwat kekal. 

Selain itu, sebanyak 20 kes melibatkan ralat teknikal berhubung kad pengenalan apabila pengadu tidak dibenarkan mengundi selepas namanya tidak sama dengan senarai semakan pemilih berdaftar dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Dalam pada itu, dua pemuda berusia 21 dan 20 tahun ditahan reman selama tiga hari pada 4 Mei lepas selepas bertindak bermain mercun jenis bola di hadapan Kompleks Kota Darul Naim dengan tujuan menakut-nakutkan orang awam. 

"Mereka akan dituduh esok dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Letupan," katanya. 

Jalaluddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang disebarkan sejak dua hari lepas berhubung satu himpunan di ibu negara. -Bernama

BN Mendahului 22 Kerusi Di Kelantan

Ahad, 5 Mei 2013

Mengikut trend nasional, BN dikatakan sedang mendahului di negeri Kelantan setakat jam 1 tengahari tadi. InsyaAllah jika trend ini berterusan, BN akan membentuk kerajaan negeri yang baru esok.

Berdasarkan trend sekarang, kemungkinan besar momentum PRU11 akan berulang di mana rakyat memberikan sokongan hebat kepada BN.

Trend ini bukan sahaja di Kelantan, malah di negeri-negeri lain dan peringkat pusat juga. Penulis yakin BN akan memenangi 2/3 majoriti.

Masih ada masa lagi untuk rakyat Kelantan keluar mengundi. Pastikan undi Barisan Nasional untuk Kelantan baru, Kelantan maju.

Gambar adalah calon BN, Parlimen Ketereh,Tan Sri Annuar Musa dan calon BN Parlimen Kota Bharu, Dato Fatmi keluar mengundi pagi tadi.


PRU Terakhir, Ku Li Minta Pengundi Beri Kemenangan Besar

Sabtu, 4 Mei 2013

GUA MUSANG - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu pengundi memberi kemenangan lebih besar kepadanya kerana ini kali terakhir beliau menjadi calon pilihan raya berikutan faktor usia. 

Tengku Razaleigh, 76, berkata beliau tidak akan menawarkan diri lagi untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dan berharap para pengundi kerusi Parlimen Gua Musang akan membalas jasanya selama lima dekad dengan memberikannya undi yang lebih besar. 

"Saya rasa sudah cukuplah untuk diri saya menawarkan diri bertanding pada PRU akan datang kerana usia semakin tua, dan berpuas hati dengan khidmat yang saya lakukan untuk rakyat Gua Musang selama 50 tahun berjuang untuk mereka," katanya pada majlis mesra pemimpin dengan masyarakat peneroka Felda di Chiku 2 di sini Sabtu. 

Tengku Razaleigh mula bertanding kerusi Parlimen Gua Musang, yang dahulunya dikenali sebagai Ulu Kelantan Barat sejak pilihan raya umum 1969 pada usia 32 tahun, dan telah menyandang kerusi itu untuk sembilan penggal dan pernah memenangi kerusi itu tanpa tanding pada pilihan raya umum 1974. 

Bagi PRU kali ini, "hanya yang saya minta daripada rakyat untuk memberi kemenangan dengan majoriti lebih besar pada PRU-13 Ahad ini, Insya-Allah akan dapat dicapai," katanya. 

Ketua Umno Gua Musang itu berkata jika terus diberi mandat pada Ahad, beliau berjanji akan terus memberi khidmat terbaik bagi menyelesaikan masalah rakyat supaya semuanya dapat tinggal dalam suasana aman dan maju. 

Beliau yakin bukan sahaja kerusi BN Parlimen Gua Musang akan dapat menang besar, tetapi juga kerusi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paloh, Nenggiri dan Galas. 

Ini kerana sokongan rakyat yang mahukan pemimpin yang sudah sekian lama berjasa kepada mereka, dan meneruskan usaha membawa pembangunan ke kawasan itu, katanya. - BERNAMA

Pemimpin Jiwa Rakyat Jadi Pilihan

TANAH MERAH - “Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk memilih pemimpin yang paling layak diberi peluang memerintah di kawasan ini,” demikian luahan seorang penduduk Kampung Pangkal Manak, Belimbing, Tanah Merah, Fatimah Ashfurreey Alwi, 50.

Menurutnya, jasa dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh pemimpin BN yang diketuai calon Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz dan calon Adun Bukit Panau, Baharuddin Yusoff menaik taraf rumahnya adalah bukti mereka bersungguh-sungguh membela nasib rakyat.

Katanya, sebanyak RM7,000 dihulurkan sebagai pembiayaan untuk menyiapkan dua bilik tidur rumahnya selepas Datuk Ikmal dan jentera BN mengadakan lawatan ke rumahnya.

Dia menyifatkan kedua-dua pemimpin itu bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi sokongan moral kepada anaknya untuk meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Saya begitu teruja dengan sikap dan keperibadian Datuk Ikmal yang sanggup berkunjung ke rumah yang serba kekurangan ini, seterusnya menyalurkan bantuan segera,” katanya. 

Dia juga melahirkan rasa terharu di atas usaha kedua-dua pemimpin itu untuk memberi pembiayaan kali kedua, bagi menaik taraf bahagian dapur rumahnya selepas pilihan raya umum nanti.

“Saya percaya, saya adalah antara ribuan penduduk yang telah menikmati keselesaan hasil daripada bantuan yang dihulurkan BN, justeru itu saya percaya lebih banyak bantuan yang bakal kami nikmati sekiranya di bawah pemerintahan BN nanti,” katanya.

Katanya, kedua-dua calon BN itu adalah pemimpin yang dikagumi bukan sahaja dijadikan tempat untuk mendapat bantuan kewangan, tetapi mereka mengambil berat soal pendidikan, kesihatan dan sokongan moral untuk golongan pelajar.

“Saya percaya pemimpin yang ada di hadapan saya ini bukan calang-calang orang, mereka mempunyai latar belakang dan keperibadian yang boleh dicontohi.

Justeru sebagai rakyat yang tahu mengenang budi, inilah masa yang sesuai untuk saya membalas segala jasa dan usaha yang telah mereka taburkan kepada saya,” katanya.

Tujuh Janji Pembangunan Di Kelantan Hanya Permulaan - Najib

Jumaat, 3 Mei 2013

PASIR PUTEH - Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak menyifatkan tujuh janji pembangunan di Kelantan yang dinyatakan baru-baru ini, hanya sebagai permulaan selepas BN diberi mandat.

Beliau berkata, BN merancang pembangunan lebih menyeluruh untuk rakyat Kelantan, sekiranya kerajaan Pas dapat ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, Pas ternyata tidak mampu membangunkan Kelantan, tapi terus mengaburi mata rakyat dengan menjanjikan pembinaan infrastruktur seperti lebuh raya dan stadium.

“Mereka bercakap mengenai negara Islam, mereka tidak nampak negara kita sudah lama menjadi negara Islam yang kuat, dihormati dan bermaruah,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 20,000 penyokong BN dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai dekat sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Muhamed, Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Calon BN Dun Semerak, Zawawi Othman, Calon BN Dun Limbongan, Mohd Rujhan Salleh, Calon BN Dun Gaal, Redzuan Stapha, Calon BN Dun Selising, Zulkifli Ali dan Calon BN Parlimen Pasir Puteh, Tuan Mustaffa Tuan Mat.

Najib berkata, dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Malaysia merupakan antara negara yang dihormati kerana semakin maju.

“Dalam OIC masih banyak negara Islam yang mundur dan miskin, rakyat negara ini bernasib baik kerana Malaysia menjadi contoh kepada negara Islam lain di dunia.

“Saya ada visi untuk negara kita, saya ada wawasan dan tidak tahu negara Islam yang macam mana lagi yang Pas mahu,” katanya.

Sementara itu, Mustapa dalam ucapannya antara lain berkata, sambutan luar biasa rakyat Kelantan kepada program BN menggambarkan sikap sebenar rakyat yang mahu menukar Kerajaan Pas kepada BN.

Katanya, rakyat Kelantan akan menolak parti yang ditunjangi pemimpin yang mempunyai skandal.

“Rakyat mulai sedar selepas lebih 23 tahun Pas mentadbir Kelantan, mereka tidak sanggup lagi dizalimi dan mereka sedar BN lebih layak sebenarnya.

“Kita sudah membelanjakan RM100 juga untuk membina dan membaiki masjid di Kelantan tapi Pas tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Remaja Cedera Tertusuk Buluh Bendera

KOTA BHARU - Berpantang ajal sebelum maut. Itu gambaran dialami seorang remaja yang tertusuk serpihan buluh bendera parti pada lehernya dalam kejadian di Kampung Mak Makyong di sini, Selasa lalu.

Insiden berlaku pada jam 8 malam ketika Muhamad Arif Fikri Rosli, 14, menunggang motosikal bersama seorang rakannya, melalui sebuah jambatan kecil.

Ibu mangsa, Rohana Yusof, 58, berkata, Muhamad Arif sebelum itu meminta izin ke pos parti berdekatan untuk makan malam, bagaimanapun begitu ketika melalui jambatan itu, serpihan buluh bendera yang patah tertusuk pada lehernya.

“Keadaan jalan ketika itu gelap dan dia tidak nampak buluh tersebut lalu melanggarnya sebelum memberhentikan motosikal.

“Muhamad Arif dibantu penduduk kampung dan dihantar ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana pendarahan yang banyak.” katanya ketika ditemui di (HUSM) di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa anak kelima daripada enam beradik itu ketika berada di surau berhampiran dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya tidak sempat jumpa Muhamad Arif kerana sudah dibawa ke hospital, bagaimanapun saya bersyukur kecederaan dialami tidak serius dan tusukan buluh itu hanya kena pada kulit dan isinya sahaja. Sikit lagi nak kena pada urat lehernya.

“Syukur alhamdulillah, anak saya selamat walaupun menerima hampir 20 jahitan. Dia sudah boleh makan dan bercakap perlahan-lahan selain dibenarkan pulang hari ini (semalam).,” katanya.

Rosmah Perjelas Dakwaan Miliki Cincin Mewah

KOTA BHARU - Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata fitnah kononnya beliau memiliki cincin mewah adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang bertujuan menimbulkan kebencian rakyat terhadap pemimpin.

Rosmah sekali lagi menjelaskan bahawa cincin tersebut dibawa masuk selama tiga hari untuk dilihat oleh bakal besannya yang berada di Malaysia ketika itu.

"Itu (cincin) bukan saya punya.

Dia (besan) kenal orang tu sebab dia good customer (pelanggan yang baik) jadi dialah yang tengok dan cincin tu terpaksa di alamatkan ke Seri Perdana.

"Bila cincin tu masuk ditunjuknya borang Kastam, tapi bila cincin keluar tak tunjuk borang cincin keluar. Tapi kami mempunyai semua bukti kami tidak pernah memilikinya dan ia hanya untuk dilihat dan bukan untuk dibeli," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan replika cek mesin hemodialisis kepada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian di sini, hari ini.

Rosmah sebelum ini ditohmah kononnya memiliki cincin mewah bertatahkan berlian yang mencecah jutaan ringgit.

Anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Rosmah, Nooriyana Najwa bertunang dengan Daniyar Nazarbayev, warga Kazakhstan pada 2011. - Bernama

Gesa Nik Aziz Bersara

KOTA BHARU - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengundur diri sebagai pimpinan kerajaan Kelantan, setelah 23 tahun menjadi Menteri Besar. 

Katanya, sudah tiba masanya Nik Aziz beri peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir Kelantan agar mengubah negeri ini menjadi lebih maju, memandangkan banyak daripada pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan Pusat, berbanding kerajaan Pas, selama ini.

“Ambo (saya) hormat juga Nik Aziz ini. Orang lebih tua pada ambo, tetapi kita harus lakukan reality check (semakan hakikat), sebab kita perlukan pembaharuan. Umur dia dah 82 tahun, tapi nak tanding lagi. Dia tak leh (boleh) jadi ahli politik dah, tapi kalau jadi orang agama bolehlah,” katanya ketika berucap pada majlis bantuan tuisyen Satu Malaysia di Maktab Sultan Ismail di sini, semalam.

Najib berkata, pimpinan Pas hanya mementingkan kepentingan politik ‘yang tak tahu hala tujunya’.

“Hari ini kita nak kecek (cakap) tentang pembaharuan dan abad ke-21, tapi kalau pimpinan dah 82 tahun boleh ke bawa pembaharuan?" katanya.

Beliau berkata untuk mentadbir negara dan membawa pembaharuan perlu mempunyai pimpinan yang mempunyai tenaga yang kuat.

“Tengok di negara China. Dia buat dasar, pemimpinnya tadbir negara sampai umur 70-an, (kemudian) bersara. Ini tidak. Kelantan masih lagi simpan pemimpin yang sebegitu dan rakyat harus lakukan perubahan," katanya.

Nik Aziz Sudah Ada Pengganti Diri Jadi MB

KOTA BHARU - Dua hari sebelum tempoh pengundian, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membayangkan beliau sudah mempunyai nama pengganti sebagai Menteri Besar Kelantan, jawatan disandangnya sejak 23 tahun yang lalu.

Mursyidul Am Pas yang berusia 82 tahun itu, bagaimanapun tidak mahu mendedahkan siapa calon pilihannya, selain tidak menyatakan bila tempoh peralihan kuasa itu akan berlaku.

“Dalam parti memang ada timbalan, parti mana-mana pun. Ada naib dan dewan harian, orang inilah kita latih...tapi nama kita tak boleh sebut, memang ada (nama bakal menteri besar),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Antara nama-nama yang dikatakan menggantikan Nik Aziz adalah timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Spekulasi terbaru turut menyatakan Nik Aziz dikatakan sedang melatih speaker Dun, Datuk Nasuruddin Daud bagi menjawat jawatan itu.

Dalam Pilihan Raya Umum kali ini, Nik Aziz mempertahankan kerusi Dun Chempaka, manakala anaknya, Nik Abduh buat pertama kali bertanding di Pasir Mas menentang calon Bebas, Ibrahim Ali.

Ketika ditanya kriteria yang dikehendaki bagi mengganti beliau, Nik Aziz berkata, “Saya tak suka sebut benda akan datang, suka sebut dasar...dasar...dasar. Akan datang tu nanti akan datang la”.

Nik Aziz berkata, pihaknya kini tidak menekankan soal pengganti, sebaliknya fokus mahu kerajaan Kelantan dipertahankan.

Dalam masa yang sama, Nik Aziz turut mendedahkan, sepanjang karier politiknya, beliau tidak pernah memohon jawatan sama ada parti mahupun kerajaan, namun mengakui pernah sekali meminta dicalonkan bagi meredakan ketegangan dalam Pas.

“Sepanjang umur, saya minta nak jadi calon hanya sekali, saya minta nak jadi calon, bukan menteri besar, masa Allahyarham Bakar Hamzah (pemimpin Pas) ada lagi, saya kata ustaz, tolong usahalah saya nak jadi calon.

“Bila kita bercakap dengan (gelaran) calon ni ada nilai. Ia berlaku sebelum Pas sertai Barisan Nasional (BN), ketika itu kalut, Tun Razak (Hussein) minta kita sertai BN, orang Pas pecah empat, ketika itu saya minta nak jadi calon untuk bercakap sebagai orang yang berhormat, lepas pada tu saya tidak pernah minta untuk jadi calon. tapi dah parti calon, saya terima la,” katanya.

Pengumuman Bapa Saiful Bukhari Melucukan - Wan Azizah

Khamis, 2 Mei 2013

KUALA SEPETANG - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata pengumuman yang dibuat oleh bapa kepada Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim pada Rabu sebagai sesuatu yang melucukan. 

Katanya tindakan seperti itu bukanlah menjadi satu perkara yang menghairankan. 

"Itu adalah pilihannya sendiri. 

"Ia satu perkara yang melucukan. Hanya beberapa hari sebelum pilihan raya apa-apa pun boleh terjadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis minum petang berama penduduk Kuala Sepetang, dekat sini, Khamis. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Mohd Azlan yang mengumumkan keluar PKR pada Rabu. 

Mohd Azlan juga menarik balik pengakuannya sebelum ini bahawa liwat Datuk Seri Anwar terhadap anaknya tidak berlaku.

Lebih Dari Tujuh Projek Akan Dilaksana Jika Rakyat Kelantan Beri Mandat Pada BN

PASIR PUTEH - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) memberi jaminan untuk melaksanakan lebih daripada tujuh projek di Kelantan yang diumumkan sebelum ini sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 

"Ambo (saya) beri jaminan, kalau Barisan Nasional (BN) menang, lebuh raya... kita akan buat...stadium kita buat... 'The Red Warriors' (gelaran skuad bola sepak Kelantan) akan kuat. 

"Tujuh projek itu boleh kita buat. Itu baru permulaan. Kita boleh buat banyak lagi (jika diberi mandat)," katanya ketika berucap kepada kira-kira 20,000 hadirin pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai dekat sini, Khamis. 

Pada Mac lalu, Perdana Menteri dalam lawatan seharinya ke Kelantan mengumumkan tujuh projek yang akan dilaksanakan oleh BN sekiranya diberi mandat oleh rakyat negeri itu pada PRU-13. 

Antara tujuh projek yang diumumkan Najib ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baru dan menyelesaikan masalah bekalan air bersih di negeri itu. 

Najib berkata, sampai bila kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS selama 23 tahun hendak menipu rakyat kerana tidak melaksanakan janji-janjinya. 

"Sampai bila nak tipu rakyat. Cukuplah 23 tahun, apa lagi nak tipu rakyat? 

"Ini kata nak buat lebuh raya Kuala Krai-Kota Baru... mereka buat tabung. Ingat boleh buat lebuh raya dengan tabung. Kos lebuh raya RM2 bilion (ringgit), mana mereka mampu," katanya. 

PAS sebelum ini menjanjikan rakyat Kelantan untuk membina lebuh raya Kuala Krai-Kota Baru yang menelan belanja RM1.8 bilion. 

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru rakyat negeri itu untuk menderma bagi membolehkan projek berkenaan dapat dilaksanakan.

Kesal Pos BN Dibakar Lagi

PULAI CHONDONG - Penyokong BN Kampung Belukar, dekat sini kesal dan terkilan apabila pos mereka dibakar, awal pagi semalam.

Pemilik pos, Daud Mohamad berkata, kejadian tersebut dianggarkan berlaku antara jam 5 hingga 6 pagi semalam dan hanya disedari penduduk beberapa jam kemudian.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia mengejutkan pihaknya, namun tidak mahu menuduh sesiapa terlibat.

“Sekalipun berbeza fahaman politik, kami di sini hidup aman damai, namun saya percaya ia tidak dilakukan oleh orang luar.

"Beberapa bendera dan kain rentang yang memaparkan gambar perdana menteri turut dibakar pada insiden itu.

“Biarpun kebakaran itu kecil, namun ia menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan penyokong BN di sini,” katanya.

Daud berkata, dia tidak menuduh sesiapa berhubung kejadian itu memandangkan mereka tidak melihatnya, namun berharap ia tidak berulang pada masa akan datang bagi menjaga keharmonian di kampung itu.

Dalam masa sama, dia turut menolak sebarang salah faham atau kejadian gaduh yang boleh menjadi punca kejadian tersebut sebelum ini.

“Saya buka pos ni dah dua kali pilihan raya. Tak pernah berlaku perkara sebegini.

"Ini mungkin kerja budak-budak nakal yang kemungkinan ingin bergurau atau memberi amaran tentang sesuatu perkara, namun mesejnya tak sampai memandangkan kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan parti lawan atau sebagainya.

"Saya harap perkara ini dijadikan iktibar, agar tidak berulang. Ia mampu menyebabkan kejadian lebih buruk. Biarpun berbeza pandangan dan ideologi, jangan buat jahat dan menimbulkan kemarahan orang lain,” katanya.

Lelaki Melecur Muka, Anggota Badan

KOTA BHARU - Kegembiraan seorang lelaki menyemarakkan suasana kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bertukar tragedi apabila belon gergasi yang di pam meletup menyebabkan dia melecur di muka dan sebahagian anggota badannya.

Kejadian berlaku di Kampung Siti Manis, Kedai Buloh di sini, pada jam 12.30 tengah hari, kelmarin. 

Mangsa, pekerja kedai komputer, Mohd Badrul Hisham Mohd Abd Ghani, 30, cedera di muka, kedua-dua tangan dan kaki hingga paras lulut akibat terkena serbuk belerang yang dimasukkan ke dalam belon itu.

Adik mangsa, Mohd Badrul Izzat, 28, berkata, ketika itu, abang bersama neneknya, Mariam Daud, 65, berada di rumah.

“Dia mengepam belon itu menggunakan pam tayar basikal yang disambung menggunakan kuasa bateri kereta. Tidak sampai tiga minit, belon yang selesai dipamkan bersama belerang itu meletup seperti bom.

“Nenek yang terkejut mendengar letupan itu, pengsan serta-merta tetapi mangsa masih sedarkan diri dan merasa panas di muka, lengan dan kaki sebelum masuk ke dalam rumah serta mandi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kedai Buloh di sini, semalam.

Menurutnya, akibat tidak tahan rasa panas, abangnya meminta pertolongan jiran untuk dihantar ke hospital.

“Dia kemudian terus dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II. Kata doktor keadaannya stabil tetapi masih memerlukan bantuan mesin pernafasan. Kulit mukanya menjadi hitam seperti terbakar sementara tangan dan kakinya berbalut,” katanya.

PM Ajak Rakyat Kelantan Tolak Pas Kerana Gagal Tunai Janji

PASIR PUTEH - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Kelantan menolak Pas pada pilihan raya umum ke-13 Ahad ini, kerana pemimpin parti itu banyak menipu rakyat dengan janji yang tidak ditepati sepanjang 23 tahun memerintah negeri ini.

Beliau berkata pemimpin parti itu hanya pandai melaungkan slogan tetapi pengisiannya tidak ada untuk memajukan negeri ini sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat.

"Bo lah weh, cukuplah 23 tahun, tipu rakyat, bohong. Ini nak buat lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai, buat tabung, ingat boleh buat lebuh raya dengan tabung (pungut derma daripada rakyat)?, berapa banyak tabung masuk, (sedangkan kos RM2 bilion...(tentunya) tak boleh buat," katanya ketika berucap pada Program Himpunan Rakyat 1Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petai, di sini hari ini.

Hadir bersama kira-kira 20,000 orang ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Najib yang dalam rangka lawatan sehari ke negeri ini, mempersoal Pas yang sering melaungkan slogan negara Islam dan Kelantan sebagai serambi Mekah, tetapi mana masjid yang dibina, sebagai antara lambang mereka menengakkan Islam di negeri ini.

Najib yang juga Pengerusi BN, memberi jaminan kepada rakyat Kelantan bahawa kerajaan BN akan menunaikan sepenuhnya tujuh janji yang diumumkan beliau sebelum ini bagi memajukan rakyat dan negeri ini apabila rakyat memberi mandat kepada BN pada PRU13.

Tujuh janji itu ialah membina lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai, masjid negeri yang akan menjadi ikon negeri itu, stadium, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM), membina 3,000 unit rumah mampu milik, perkhidmatan bas rapid Kota Baharu dan menyelesaikan masalah bekalan air.

"Ambo beri jaminan menang PRU13, lebuh raya, stadium, masjid dan lain-lain lagi kita akan buat, ambo dah janji buat rumah mampu milik di Kota Baharu sudah pun dimulakan, tempat lain pun kita akan buat, di Pasir Puteh ini pun kita buat. Tujuh perkara itu hanya permulaan, banyak lagi kita akan buat," katanya.

Perdana menteri berkata Mustapa ialah calon sesuai untuk menjadi menteri besar Kelantan berikutan rekodnya yang bersih dan jujur serta berpengalaman luas sebagai menteri kabinet dan di peringkat antarabangsa.

Beliau yakin dengan pengalaman yang luas itu, Mustapa mampu membawa banyak pelaburan bagi melaksanakan pelbagai projek besar untuk dimanfaatkan rakyat negeri ini.

Najib juga berkata kerajaan BN mempunyai wawasan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam yang lebih kuat, bermaruah, dihormati dan dicontohi oleh negara Islam lain.

"Saya, Datuk Pa (Mustapa), hadir persidangan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) dengan negara Islam lain, kita ada Mali, Senegal, Comoros, tetapi negara Islam ini, maaf cakap, mundur dan miskin, tetapi di peringkat OIC, Malaysia masih dihormati kerana mereka melihat di bawah kepimpinan BN makin maju dan berjaya.

"Jangan nak main slogan, main bendera bulan, orang OIC tidak hormat bendera bulan, dia hormat kalau negara Islam kuat kerana ilmu, ekonomi, perdagangan, politik mantap, berasaskan makasid syariah," katanya.

Beliau berkata PAS tidak berupaya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh dan dihormati sebaliknya akan menjadi mundur.

"Macam mana nak kata ada maruah, pergi OIC, orang Arab kata masalah air di Kelantan pun tak selesai, mu nak kecek gapo (cakap apa)...," katanya yang turut membidas pemimpin PAS yang hanya pandai bercakap tetapi tidak pergi ke Gaza untuk membantu umat Islam Palestin, sebagaimana beliau lakukan untuk membantu umat Islam yang terjejas di sana.

Sehubungan itu, Najib menasihati rakyat supaya membuat pilihan yang tepat pada PRU13 Ahad ini, untuk masa depan negara yang lebih cemerlang. - Bernama

Puas The Red Warriors Juara

PENGENDALI The Red Warriors, Bojan Hodak menyifatkan pasukannya berhak menjuarai peringkat Kumpulan G setelah mempamerkan prestasi memberangsangkan sepanjang saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), musim ini.

Menjadikan Ayeyawady United FC sebagai mangsa terakhir dengan kemenangan 3-1 di Kota Bharu, Hodak berkata, barisan pemainnya mengetepikan masalah keletihan yang membelenggu mereka untuk menewaskan wakil Myanmar itu.

“Memang kami perlu menang perlawanan ini kerana bagi Ayeyawady United FC ia tidak membawa apa-apa makna, sekadar melengkapkan jadual sahaja. Saya gembira dengan kemenangan ini kerana kita menjadi juara kumpulan.

“Pasukan lawan tidak beraksi secara bertahan malah tetap lancar serangan ke pintu gol kita. Namun apabila kita memperoleh gol pertama, segala-galanya menjadi mudah buat kita. Apa pun, saya fikir perlawanan ini cukup menghiburkan bagi penyokong Kelantan,” katanya. 

Kelantan yang beraksi tanpa dua tonggak utama, Indra Putra Mahayuddin dan Dickson Nwakaeme, selesa mendahului Ayeyawady United FC 2-0 menerusi jaringan Obinna Nwaneri (m-42) dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim (m-70) sebelum pasukan lawan merapatkan jurang oleh Nay Lin Tun (m-80).

Namun, sepakan penjuru ‘inswinger’ oleh Kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi tujuh minit sebelum perlawanan berakhir memastikan kemenangan skuad kendalian jurulatih Croatia itu sekali gus menjuarai peringkat Kumpulan G pada kempen Piala AFC kali ini.

Ditanya mengenai Kitchee SC, lawan yang menanti pada pusingan kedua, Hodak akui perlu berwaspada berdepan kelab dari Hong Kong itu memandangkan reputasi mereka pernah menjuarai liga negaranya selain turut diperkuatkan pemain import dari Sepanyol dan Pakistan.

Sementara itu, Jurulatih Ayeyawady United FC, Marjan Sekulovski menyifatkan Kelantan berhak menang dalam perlawanan tersebut berdasarkan kualiti pemain yang ada dalam pasukan tersebut. 

“Saya kena akur, tewas kepada pasukan yang lebih hebat daripada kami. Namun keadaan pasti berubah jika kami mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama namun itu tidak berlaku.

“Meski pun tewas, saya tetap berpuas hati dengan prestasi pemain, lagi pun enam tonggak utama tidak dapat diturunkan pada perlawanan ini akibat masalah kecederaan,” katanya.

Gred 'F' Atau Gagal Bagi Kad Laporan Prestasi Kerajaan Pas Kelantan -Muhyiddin:

Rabu, 1 Mei 2013

JELI - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meletakkan gred F atau gagal pada kad laporan prestasi kerajaan Pas Kelantan ekoran ketidakupayaan menyelesaikan beberapa masalah utama rakyat di negeri ini.

Beliau berkata adalah amat mendukacitakan dalam tempoh 23 tahun PAS memerintah Kelantan, tiada kemajuan daripada beberapa aspek seperti menyediakan peluang ekonomi dapat dikecapi di negeri berkenaan.

"Sebagai Menteri Pelajaran saya nak periksa 'report card' (kad laporan) Kelantan. Saya bagi F maknanya 'fail' (gagal) dan tak boleh terus pimpin negeri ini.

"Banyak janji-janji mereka (Pas) tak ditunaikan dan banyak masalah tak diselesaikan," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 hadirin pada Program Himpunan Rakyat 1Malaysia bersama TPM di Sekolah Kebangsaan Gemang Ayer Lanas di sini.

Muhyiddin meminta rakyat mengkaji dan meneliti prestasi PAS berdasarkan tiga faktor penting iaitu pembangunan infrastruktur, keupayaan menyediakan peluang ekonomi serta meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

Turut hadir isteri Muhyiddin Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Air Lanas. 

Muhyiddin berkata sebahagian besar pembangunan infrastruktur di Kelantan dilaksanakan oleh kerajaan BN yang tidak mahu negeri itu ketinggalan berbanding negeri-negeri lain dalam misi Malaysia mencapai status negara berpendapatan
tinggi menjelang tahun 2020.

"Jalan-jalan kampung, kemudahan asas, bekalan air dan prasarana yang patut dimajukan tapi tak dilaksanakan. Namun mereka (kerajaan negeri) masih bercita-cita nak buat lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga gagal menyediakan peluang pekerjaan untuk menjana ekonomi negeri ini dan memenuhi harapan rakyat yang mahu bekerja bagi meningkatkan pendapatan.

Di samping itu, Muhyiddin berkata PAS juga gagal memperjuangkan syiar Islam dan menegakkan serambi Mekah seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Menurutnya, PAS sepatutnya menegakkan perjuangan parti itu untuk membina negara Islam, namun perkara itu tidak pun dinyatakan di dalam manifesto parti itu.

"Bila PAS menyertai pakatan pembangkang sepatutnya mereka menegakkan perjuangan untuk bina negara Islam dan soal hudud diteruskan namun mereka mengorbankan apa yang selama ini diperjuangkan untuk tujuan politik," katanya.

Tambahnya, ekoran daripada kegagalan kerajaan negeri pimpinan PAS mentadbir Kelantan, rakyat mulai sedar dan insaf untuk beralih kepada kepimpinan BN yang mendahulukan rakyat.

Beliau berkata sejak dua tahun gelombang merah yang menjadi lambang kepimpinan BN memenuhi Kelantan, ia sudah mula menyerap ke dalam jiwa rakyat yang mahukan perubahan.

"Pembangkang seperti 'desperado' kerana pengaruh gelombang merah mula diterima rakyat di sini, makanya mereka buat pelbagai tohmahan kepada kepimpinan BN," katanya. - Bernama

Archive

KB News. Dikuasakan oleh Blogger.
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Kota Bharu News - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Inspired by Sportapolis Shape5.com
Proudly powered by Blogger